
MENJELANG jam 3.00 pagi 9 Mac, aku dah tak boleh tidur meskipun mamai. Semangat bagaikan terbang entah ke mana. Hati jadi sayu bila terfikirkan apa dah jadi bila 4 negeri tumbang ke pihak pembangkang. Memang terkedu kerana tak boleh BERSORAK SEOVER-OVERNYA!
Dalam keadaan hati yang rawan, aku terkenang pada bait-bait sebuah lagu yang kukira dah lapuk dan tak perlu didendangkan lagi. Namun, tiba-tiba lagu inilah yang berkumandang di telingaku. Inilah lagu WARISAN ciptaan Nordin Kardi dan dilengkapkan oleh Nordin Mohamed.
WARISAN
Anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
tergadai seluruh harta benda
akibat sengketa sesamalah kita
cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
WARISAN berkurun lamanya
hasil mengalir ke tangan yang lain
peribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
kan lenyap peristiwa semalam
tertutuplah hati terkunci mati
maruah peribadi dah hilang
Kini kita tinggal kuasa
yang akan menentukan bangsa
bersatulah hati bersama berbakti
pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
majulah dengan Maha Perkasa
janganlah terlalai teruskan usaha
MELAYU kan gagah di nusantara (X3)
HARI BERSORAK SEOVER-OVERNYA
8 MAC 2008. Hari Pilihanraya Umum ke-12. Dan, kali ke-7 aku keluar memangkah calon yang aku pilih. Pangkah orang yang aku pilih? Mengapa tidak ‘rait’ calon yang aku mahu wakili aku di Parlimen dan DUN? Kenapa pangkah? Bukankah pangkah itu biasanya pada yang kita tak hendak? Pangkah pada yang salah? Ah, kepelikan yang aku terpaksa akur.
Aku mula mengundi pada tahun 1982 dan 1986 di kawasan Parlimen Damansara, dan Parlimen Lembah Pantai setelah disempadankan semula pada tahun 1990, 1995, 1999 dan 2004. Pada tahun 2008 ini aku mengundi di kawasan kediamanku di Kelana Jaya untuk Parlimen Kelana Jaya dan DUN Seri Setia.
Calon aku untuk Parlimen Kelana Jaya ialah Lee Hwa Beng(BN), seorang calon yang punyai rekod cemerlang sebelum ini di DUN Subang Jaya selama tiga penggal. Namanya aku tak boleh lupa kerana namanya mengingatkan aku pada Lee Wah Bank, sebuah bank yang ini dah tak ada!
Lawannya ialah dua orang calon colourful tetapi yang boleh buat aku geleng kepala. Calon kedua ialah Gwo-Burne Loh (PKR). Dia adalah orang yang ambil video VK Lingam. Dia tinggal di Shanghai, tak pandai cakap Melayu dan tak petah berbahasa Inggeris. Macam mana dia nak wakili aku di parlimen kerana dia perlu bercakap BM di parlimen? Aisey…
Calon ketiga ialah Billi Lim Peng Soon (Bebas). Dia motivator dan penulis buku Dare To Fail. Dia pernah bertanding di Parlimen Bukit Bintang pada pilihanraya sebelum ini. Berkepala botak, petah bercakap dan kelakar, dia boleh menambah kemeriahan parlimen pada sidang akan datang kalau dia menang. Tapi, alamak! Dia calon bebas. Kalau dia masuk mana-mana parti politik, aku boleh undi dia kalau calon yang satu lagi ‘tunggul bergerak.’
Calon aku untuk DUN Seri Setia ialah Seripah Noli Syed Husin (BN). ku tak berapa kenal dia kecuali bila dia pernah berucap di hari penyampaian hadiah anak sulung aku ketika dia di tadika. Lawannya ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR). Aku tak kenal dia ni. Baru nampak muka dia.
Siapa yang aku akan undi? Sejak mengundi kali pertama pada tahun 1982, aku undi calon yang aku kenal. Calon yang aku pernah nampak di mana-mana bahan bacaan atau TV. Calon yang ada rekod perjuangan bila aku bandingkan manifesto masing-masing. Bukan calon yang baru nampak batang hidung di batang-batang pokok.
Walau apa pun, pada 8 Mac, aku akan pergi mengundi. Aku tak akan pakai baju hijau, baju biru, merah atau biru uniform budak sekolah perempuan. Aku akan pakai baju hitam atau coklat, dua warna kegemaran aku. Aku akan pergi bersama isteri. Anak-anak yang belum layak mengundi akan aku bawa agar mereka faham pentingnya demokrasi.
Setelah itu, kami sekeluarga akan berkereta ke serata pelosok Lembah Kelang untuk ambil gambar dan rasai suasana pilihanraya. Ya, hari ini isteri aku tutup kedai. Kami akan makan di mana-mana. Malamnya, kami akan berlingkar di depan TV sampai pagi untuk merekodkan keputusan pilihanraya yang mendebarkan.
Dan, aku akan bersorak seover-overnya di depan TV untuk meraikan kemenangan buat sekian kalinya…